Tuesday 1 January 2013

Sahabatku Si Hitam


By:HanifMarZuki

Aku ada seorang kawan rapat berbangsa India. Kalau aku berbual dengannya, bagai nak runtuh langit dunia, ada sahaja yang salah, baik pada diriku, atau pada dirinya. Walau tiap hari persahabatan disulami dengan pergaduhan, perbualan diisi dengan kata-kata sinis, dan perbuatan dilingkari dengan sifat nakal, kami tetapberkawan. Adak ala kami berperang, tetapi selalunya kami berdamai. Itulah kehidupan, dikelilingi dengan pelbagai ragam dan perangai manusia. Ada kalanya kita tak boleh tahan, tapi selalunya kita kena akur, kerana perbezaan membawa pada kesempurnaan. Kawan indiaku itu sangat mulia hatinya. Ingin kemana-mana, pasti dibawa, tanpa sebarang keluh, penat, walau lelah. Senyuman sentiasa terukir, tatkala menyempurnakan tugas sebagai seorang sahabat. Ramai yang pelik mengapa aku boleh berkawan dengannya. Tapi persoalannya, patutukah mereka berasa pelik? Adakah perbezaan darah bangsa membatasi pergaulan? Aku lagi pelik dengan segelintir mereka, menjunjung kalimah ilahi, tetapi batas pergaulan yang sepatutnya tidak dijaga.

Apa yang ingin aku manifestasikan dalam bentuk literal kali ini ialah perbezaan boleh diatasi dengan toleransi, budi bicara dan adab yang betul. Itulah yang diajar oleh agama yang membawa kebenaran. Jika kita menghormati mereka, pastinya mereka akan lebih menghormati kita. Jangan pandang enteng dengan kepentingan persahabatan melangkaui bangsa, kerana mungkin satu hari pertolongan mereka adalah bantuan yang paling kita perlukan. Jangan jadikan penguasaan kek ekonomi sebagai alasan untuk menjauhi mereka, kerana setiap yang kurang pasti ada sebabnya. Jangan jadikan tuan rumah sebagai alasan untuk menyombong diri, kerana orang yang sombong pasti selalu rugi.

Sebenarnya diriku sangat berada dalam dilemma. Bukankah yang tua sepatutnya membimbing yang muda. Tetapi mengapa ajaran segelintir yang tua ini menyimpang pada nilai-nilai murni yang sepatutnya menjadi akar jati diri. Tidak percaya, bacalah akhbar tempatan, atau layari alam maya. Pasti akan ada orang yang terkenal memperjuangkan perkara yang tidak sepatutnya. Pasti ada sahaja debat perdana tentang kepercayaan yang tiada asas nilai-nilai kerohanian. Berlindung dibawah naungan agama, berperisaikan perjuangan bangsa, tetapi tidak mempunyai ilmu yang cukup. Bila diri berdebat dan menang, terus mendabik dada, betullah kata imam syafie`, aku boleh berdebat dengan 10 orang berilmu, tetapi aku tidak boleh berhujah dengan orang jahil. Tepuk dada, Tanya selera.

Tuntasnya, tidak salah mempertahankan hak bangsa, tetapi kita perlu ingat dan akur, tidak juga salah bersahabat dengan orang berlainan bangsa. Dengan nilai murni yang kita tunjukkan, mungkin satu hari, persahabatan yang kukuh akan berubah menjadi persaudaraan yang teguh. Mandilah dengan nilai kerohanian, bersugilah dengan budi bahasa, berdandanlah dengan jati diri, dan wangikan diri dengan sifat tolong-menolong, agar apabila kita mencerminkan diri, bayangan seorang pemimpin yang hebat akan dilihat dan moga hiasan itu akan menjadikan diri lebih jujur dan rendah diri agar dapat menjadi ikutan orang ramai, Moga setiap kata-kata diikuti dengan keberkatan, moga setiap ayat diwarnai dengan kebenaran, dan moga setiap perenggan membawa cahaya kesedaran, agar ilmu yang dimanfaatkan, menjadi ikutan sepanjang zaman.

Aku Orang Gila


By:HanifMarZuki

Mataku merenung menembusi jendela,
Memerhati lingkaran kehidupan dunia,
Melihat tangisan dan hilai tawa,
Menguasai emosi manusia bagaikan raja,

Tertumpunya mataku ke seorang figura,
Bayangan yang jauh dari normaliti,
Melangkaui batasan pemikiran,
Yang menjadi pemisah antara dua dunia,
Alam ilusi ciptaan sendiri dan alam fana tempat diriku berdiri,
Menjadi bahan jenaka bagi yang melihatnya,
Baik daripada segi pakaian ataupun pertuturan,
Tetapi pasti menjadi iktibar bagi yang memerhati,
Menambah keinsafan pada yang ilahi,
Inikah balasan atau cuma ujian,
Siapa yang tahu sejarah hidup lelaki ini,

Dia tidak siuman,
Tidak menanggung bebanan hidup,
Tiada harta untuk dicuri,
Emosinya bercelaru,
Kalis lautan hinaan manusia,
Ejekan menjadi sarapan,
Kata sinis menjadi pakaian,
Tiada hak untuk mengundi,
Tidak menjadi kepentingan pemimpin masa kini,
Tidak menerima rasuah atau wang kopi,
Tidak dipermainkan dengan ilusi kebaikan,
Tidak berada dalam cengkaman pihak berkuasa,
Tidak gentar diugut dengan senjata,
Tidak ketar dengan permainan undang-undang,
Pelik bagi kita biasa baginya,
Buruk bagi kita baik darinya,

Tetapi dia bebas,
Tidak terperangkap dalam penjara dunia,
Tidak dikaburi dengan kuasa harta,
Tidak dipekik dengan bisingan hutang,
Tidak terpengaruh dengan maksiat dunia,
Tiada fahaman politik,
Liberal, komunis, demokratik,
Itu semua sampah baginya,
Malah sampah yang dikutip lagi berguna,
Untuk menyara kehidupan harinya,

Buka mata bentangkan minda,
Fikirlah secara realistik,
Siapa yang sebenarnya gila,
Nama bangsa disanjung tinggi,
Nombor satu dalam carta kepentingan kehidupan,
Amalan agama diletak tepi,
Bagai tiiada penting dalam seorang insan,
Fahaman politik menjadi jurang,
Memisahkan antara kebenaran dan penipuan,
Kepentingan diri diutamakan,
Agar harta menjadi ganjaran,
Hak yang lain digadaikan,
Bagai tiada tali persaudaraan,
Sekarang siapa yang gila.

Wednesday 28 November 2012

Common Sense


Hidup umpama satu perjalanan yang singkat dan dunia ini hanyalah perhentian bagi kita menambah bekalan agar kita dapat meneruskan pengembaraan. Tidak ku sangka, hari itu tidak seperti hari yang lain. Siapa sangka, satu insiden dapat mengubah perspektif diriku ke areah yang lebih positif. Seperti biasa, aku memulakan perjalanan dari Melaka untuk berjumpa dengan keluargaku. Kini aku akan ke Kuala Lumpur, kerana keluargaku mempunyai urusan yang penting di sana. Perjalanan yang agak singkat, tetapi telah member inspirasi umpama diriku telah hidup seribu tahun. Setibanya aku di TBS, aku diarahkan oleh akakku untuk menaiki LRT ke KLCC, kerana keluarga kami menetap berhampiran di sana.

Di dalam LRT, aku hanya berdiri, memerhatikan gelagat manusia. Ada yang baru pulang daripada kerja dalam keadaan yang penat, ada yang sedang membaca akhbar tempatan dan ada juga yang hanya ingin bersiar-siar. Mungkin ingin melepaskan tekanan atau berjumpa dengan orang yang disayangi, walau tiada ikatan yang sah. Mataku tertumpu pada seorang ibu yang sedang mengendong anak kecil yang sedang mengenakan pakaian bewarna merah jambu, perempuan barang kali. Aku perasan, ada juga dua pasang anak mata merenung tajam kearah perempuan itu. Pasangan berbangsa india yang berada dalam lingkungan awal 30-an itu sedang berbincang dan tersenyum. Pasangan itu bangun dan mempelawa ibu tersebut untuk duduk. Aku tersenyum.

Situasi ini mungkin pernah berlaku pada semua. Dalam LRT tersebut, berpuluh mata menjadi saksi bahawa pasangan berbangsa india mempelawa ibu yang mengendong anak, dan ibu tersebut berbangsa melayu, untuk duduk. Tetapi dalam berpuluh pasang anak mata yang memerhati, aku yakin, hanya sebilangan sahaja yang mengambil iktibar. Jika semua insan yang berada di dalam LRT tersebut mengambil iktibar terhadap peristiwa yang mengharukan itu, maka isu perkauman bukan lagi menjadi masalah besar di negara kita. Tidak perlulah lagi pihak kerajaan membazirkan wang menganjurkan kempen kesedaran untuk membuka mata rakyat agar melakukan perkara yang sepatutnya mereka lakukan.

“Common Sense”. Itulah perkataan yang aku cari. Kesedaran untuk melakukan sesuatu bukan kerana ganjaran, tetapi kerana mengetahui, itulah perkara yang patut di lakukan. Perkara mudah seperti berbudi bahasa, bersopan santun, menghormati bangsa lain dan menghormati orang tua sepatutnya tidak menjadi subjek di peringkat sekolah, tetapi subjek di peringkat kehidupan. Penilaian bukan diambil berdasarkan markah perperiksaan, tetapi penilaian diambil dalam apa yang kita lakukan. Bukan guru yang patut menilai diri kita, tetapi diri kita senndiri yang seharusnya menilai, mana yang baik dan mana yang buruk. Dunia makin maju tetapi pemikiran makin mundur, hasilnya, kehancuran modal insane yang berkualiti. Moga setiap inspirasi diberkati.

Contohi Proton


Sebelum tahun 80-an, industri automotif bukanlah satu industri yang terkenal kerana kebanyakan kenderaan diimport dari luar negara dan tidak banyak kenderaan yang diimport mampu dimiliki oleh orang kebanyakan. Pada tahun 1981, mantan perdana menteri kita telah mengadakan lawatan ke jepun untuk meninjau kemajuan industri automotif negara tersebut yang diterajui oleh Mitsubishi Corpration.  7 Mei 1983, sejarah automotif negara talah berada di lembaran baru dengan tertubuhnya Perusahaan Otomobil Nasional, atau PROTON, dengan kerjasama syarikat Mitsubishi dari Jepun. Aspirasi dan impian negara untuk mempunyai syarikat kenderaan mampu milik buatan tempatan telah menjadi kenyataan. Pada tahun 2005, PROTON mengumumkan keuntungan sebanyak RM 4 Billion dan telah melahirkan banyak tenga mahir dalam bidang automotif.

Negara Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum dan mengamalkan sistem demokrasi berpelembagaan. Dengan erti kata yang lain, dalam negara Malaysia, terdapat lebih daripada 1 kaum, yang berbeza warna kulit, berbeza agama, dan pastinya, berbeza adat budaya. Ramai yang membuat spekulasi bahawa kerjasama antara kaum merupakan satu impian yang mustahil dan tidak masuk akal. Tetapi kita perlu ambil iktibar daripada syarikat PROTON. PROTON bermula hanya dengan aspirasi, impian dan cita-cita, yang boleh dikatakan mustahil pada ketika itu kerana tahap ekonomi Malaysia pada ketika itu hanyalah pada tahap sederhana, dan tiada tenaga mahir tempatan dalam bidang automotif.

Tetapi dengan kerjasama negara Jepun melalui syarikat Mitsubishi, impian itu menjadi kenyataan. Sedangkan negara Jepun merupakan negara yang telah menjajah kita pada tahun 40-an. Dengan persefahaman dan keinginan yang sama untuk melakar sejarah, perbezaan budaya dan pertelingkahan yang telah berlaku diketepikan kerana terdapat satu keyakinan dalam diri mereka bahawa mereka akan berjaya. Kerjasama dengan perkongsian pendapat, teknologi dan tenaga mahir telah melahirkan satu produk yang membanggakan. Kenapa tidak kita mengambil iktibar daripada sejarah syarikat automotif negara kita dalam pengadaptasian kerjasama antara kaum.

Jika dikatakan bahawa bangsa cina hebat dalam bidang perniagaan, kenapa tidak kita berusaha untuk mempelajari bidang perniagaan daripada bangsa cina? Kita telalu malu dengan mempelajari ilmu daripada bangsa lain sehingga sikap malu yang melampau ini telah memakan diri dan bangsa kita sedikit demi sedikit. Tidak perlu pihak kerajaan mengadakan satu akta untuk setiappeniaga cina mengambil sekumpulan anak Melayu agar dididik dalam ilmu perniagaan, kerana di mana ada kemuahuan, di situ ada jalan. Sebagai contoh, Mantan Perdana Menteri kita tidak malu untuk menerima tunjuk ajar daripada syarikat luar dalam menguruskan teknologi automotif negara, kerana beliau tahu, hasilnya bukan dapat dilihat pada ketika itu,tetapi hasilnya dilihat pada hari ini dan generasi akan datang.

Jika kita lihat, sikap negatif seperti melambat-lambatkan masa, memungkiri perjanjian dan menikam daripada belakang sering kali dikaitkan dengan bangsa melayu. Dengan wujudnya tetapan minda seperti ini, secara tidak langsung kita telah mendidik dan mendoakan bangsa kita untuk mewarisi sikap negatif ini. Jadi, tidak salah kita membuat anjakan paradigma untuk membuat revolusi pemikiran agar bangsa melayu menjadi lebih maju, menepati masa, menepati perjanjian dan membuang sifat malas, agar bangsa melayu dapat bersaing dengan dunia dan bangun seiring dengan peredaran masa dan kemajuan yang pesat. Contohi PROTON, walaupun telah jatuh, tapi tetap berusaha untuk berdiri agar nama negara dapat diharumkan dan dikenali di mata dunia.

Aku Adalah Anak Muda


Aku adalah anak muda,
Mengambil contoh dari yang tua,
Pengalamannya amat berharga,
Untuk diriku yang yang baru belajar.


Aku adalah anak muda,
Mempelajari apa yang aku lihati,
Walau kemungkaran jadi tatapan,
Tetap ia jadi santapan,


Aku adalah anak muda,
Masih bodoh lagi hina,
Tidak tahu erti dunia,
Hanya bising berkata-kata,
Tapi tiada nilai berguna,


Aku adalah anak muda,
Hidup bagaikan bijih besi,
Punyai harapan dan juga impian,
Agar dibentuk agar berguna,
Menabur khidmad pada semua,


Aku adalah anak muda,
Dilukis cantik berhargalah aku,
Dilukis buruk hilan nilai ku,
Diadun sempurna sedaplah rasa,
Diadun salah sakit padahnya,


Aku adalah anak muda,
Bukam simpati aku harapkan,
Cuma impian aku lakarkan,
Agar anak muda ini menjadi asset yang berguna,
Pada negara agama dan bangsa,

Boy, Are You A student?


Pagi itu sungguh indah,tetapi kecantikannya telah dicemari dengan kesakitan yang telah aku hadapi. Sakit di gigiku bukan kepalang, sehingga aku hanya mula tidur pada pukul 5 pagi. Tiba-tiba aku disedarkan oleh ketukan di pintu bilikku. Eid, rakanku, bangun dan membuka pintu tersebut. Rupanya makhluk yang mengganggu kami tidur ialah Rubeswaran, sahabat baik kami. Aku mengambil keputusan untuk menamatkan kesakitan yang telah aku rasai ini dengan mengajak untuk menemaniku ke klinik gigi yang berhampiran. Badanku menggigil, menandakan ia tidak lagi tahan dengan kesakitan ini.

Perjalanan yang berliku menjadi mudah kerana gaya menunggang Rubes bagaikan seorang pelumba motosikal. Mungkin dia tahu aku dalam keadaan yang kritikal, atau mungkin hanya kerana memang dia ingin mendapatkan kepuasan dengan menunggang dengan laju, hanya tuhan sahaja yang maha mengetahui. Setiap lampu isyarat merah dilanggar, setiap jalan berlubang dielak, dan setiap selekoh ditempuhi dengan penuh yakin dan bergaya. Akhirnya, kami sampai ke destinasi yang sepatutnya, poliklinik kerajaan yang dilengkapi dengan sebuah klinik gigi. Terdetik di hatiku, adakah ini tempat yang akan menamatkan kesengsaraan yang telah aku lalui dan hadapi?

Setelah mendapat nombor, kami tunggu selama 15 minit, atau lebih, supaya nomborku dipanggil. Akhirnya nomborku terpapar di skrin LCD klinik tersebut. Aku melangkah kedalam bilik tersebut dengan tanggapan bahawa masalah aku akan selesai. Doktor itu seorang perempuan, muda, berkaca mata dan agak manis orangnya, mungkin baru tamat pengajian. Aku di x-ray dan doctor itu menyatakan bahawa masalah yang diriku hadapi bukan semudah yang disangka. Aku disuntik dengan bius dan diarahkan untuk duduk diluar, menunggu masa untuk bius mengambil kesan.

Aku duduk di sebelah seorang perempuan cina yang agak tua, lingkungan 60-an barangkali. Bukan diriku tidak ingin menegur perempuan itu, tetapi kesakita yang melanda menghilangkan sifat peramah diriku. Lamunan diriku tiba-tiba terhenti apabila perempuan itu menegur aku.”Boy,are you a student or are you working?”, aku spontan menjawab” I’m a student madam.” Perbualan itu diteruskan,”Great, the country needs young people like you”.Aku hanya tersenyum.
“You know, we should be grateful to have a good government, for example, this clinic is free”,perempuan itu menyambung,”We also should be grateful that we have the opposition, it keeps the government aware of us, not like countries like Libya and Egypt, their government had lead their country for a long time until they forget their people and keep thinking of themselves”.”Our country have great muslim leader as they know how to react on the latest issue regarding the film than insult islam”.”If they made a film insulting islam, why not we direct a film to tell the world that islam is a good religion”. Aku terdiam, kerana ayat itu keluar daripada mulut seorang perempuan cina beragama Buddha”

“Boy, am I right that your religion believes that God created all living things on earth?”. Aku menganggukkan kepala.”So, you should love and care for other living things on earth, whether is human,animals or the trees”.”You should love and care for other humans despite the difference in race or religion”.Aku terdiam dan menyelami kebenaran yang terkeluar dari mulut perempuan itu. “Hanif Marzuki, masuk bilik number satu”.Panggilan itu menandakan tamatnya perbualan aku dengan perempuan itu. “Thank you aunty, nice meeting with you, I hope that we will meet again someday.”.”Your welcome,maybe one day, you will be one of the leaders of our country,and when that day come,remember my word,be a good leader.”

Mengapa Pakcik Tidak Berselipar


Malam ini sungguh tenang. Hembusan angin yang nyaman menyababkan mataku semakin layu. Bulan dan bintang tidak kelihatan, mungkin kerana hujan yang membasahi bumi sebentar tadi. Keputusanku untuk duduk di kedai kopi ini tidak mempunyai tujuan yang penting, hanya ingin mencari teman bagi perutku yang kesepian. Teh-tarik dan roti canai kosong menjadi pilihanku. Jam menunjukkan pukul 0930 malam. Kedudukan mejaku yang berada di sebelah kaunter bayaran menjadi tempat yang terbaik untuk memerhatikan gelagat manusia. Ada yang bersama keluarga, ada yang bersendirian, ada yang bersama rakan-rakan, barangkali membincangkan satu hal yang penting. Tetapi gelagat seorang lelaki telah mencuri pandanganku.

Lelaki itu berada dalam lingkungan 60-an, berkulit hitam manis, tingginya lebih kurang 175cm, rambutnya putih dan apa yang membingungkan, lelaki itu tidak memakai selipar. Masih ada lagi pada zaman moden ini lelaki yang tidak mempunyai selipar, monologku sendirian. Banyak andaian yang bermain di fikiranku, mungkin lelaki ini seorang pengemis, mungkin seliparnya tercabut ditengah jalan, mungkin lelaki ini dalam keadaan yang cemas apabila keluar dari rumah sehingga terlupa memakai selipar. Apa yang aku yakin dan pasti, andaian lelaki ini seorang pengemis pastinya salah kerana dia datang ke kedai kopi ini dengan menaiki motor 125 Z yang agak baru.

Aku bertekad di dalam hatiku, untuk mengelakkan sebarang andaian dan fitnah, aku mesti bertanya kepada lelaki itu mengapa dia tidak berselipar. Mungkin ini adalah cara yang terbaik untuk menghilangkan kebosanan yang hampir membunuh diriku ini. Aku bangun dan melangkah ke meja lelaki itu. Lelaki itu memandangku dan tersenyum, menandakan kemesraannya. Aku senyum kembali kepada lelaki itu dan menghulurkan tanganku, sebagai tanda persahabatan. Kami berjabat tangan. Aku duduk tanpa dipelawa, tetapi lelaki itu tidak menunjukkan sebarang tanda pencegahan.

“Assalamualaikum pak cik, bungkus ke minum sini?”, tanyaku untuk memulakan perbualan. “Waalaikumussalam, pak cik ni bungkus je, tengah tunggu ni”. Aku cuba untuk tidak terus bertanya kepada soalan utama, kerana ini mungkin akan menyebabkan lelaki itu marah atau berasa tidak selesa. Aku memulakan permainan psikologiku. “ Pak cik duduk mana, tak pernah nampak pun sebelum ni”. “Pak cik duduk kat kampung depan tu, jarang jugak datang sini, sebelum ni pergi kat kedai sana, tapi hari ni kedai tu tutup pulak, awak ni duduk mana?”. Pertanyaan yang diberikan oleh lelaki itu menunjukkan satu reaksi positif dan menandakan lelaki itu sudah mula selesa dengan diriku.

“Saya duduk dekat taman depan tu, dah lama ke pak cik duduk kat kampong tu?”. Aku cuba menyiasat latar belakang lelaki itu. “Lama jugak, dekat 20 tahun, pak cik kerja nelayan dekat situ, biasalah, nak cari makan, tu je la yang termampu, pak cik ni, sekolah tak la seberapa”. Agak terkejut apabila aku dapat tahu bahawa lelaki berbaju biru lusuh ini sudah berumah tangga. Bagiku, perbualan semakin menarik, dan aku yakin persoalan utama aku akan terjawab. “Owh, pak cik ada berapa orang anak, dah kerja ke semua?”. “Pak cik ada 7 orang anak je, 2 orang dah kerja, tolong pak cik kat laut, 4 orang masih sekolah, yang sorang tu baru 5 tahun, yang 2 orang tu sekolah tak tinggi mana, setakat tingkatan 5 je”.

Masih ada generasi kini yang tidak mampu melanjutkan pelajaran ketahap yang lebih tinggi. Mungkin tidak berminat, atau mungkin mereka ingin berbakti kepada kedua orang tua mereka  bagi meringankan beban yang ditanggung. “Pak cik memang daripada dulu kerja nelayan ke?”,tanya diriku yang penuh dengan persoalan. “Tak lah, dulu pakcik kerja askar, tapi pencen awal, pak cik jaga mak pak cik yang sakit, lepas tu  mak pak cik meninggal, pak cik pun pindah kat kampung tu”. Cerita hidup itu semakin menarik. Banyak pengalaman lelaki itu yang boleh aku teladani dan pelajari. “Jadi askar dulu tak macam jadi askar sekarang, dulu gaji kecik, tanggungjawab besar”. Pak cik itu menyambung cerita, “ Dulu sebelum masuk hutan dah mengucap, takut kena jerangkap samar, teringat anak bini, masa tu pulak pak cik baru kawin”.

“Dalam 2 tahun pak cik berkhidmat, tiba-tiba dapat berita mak pak cik sakit, pak cik cemas, sebab pak cik anak sorang je, terus pak cik mintak berhenti, dia je la keluarga yang pak cik ada selain isteri pak cik”. Aku hanya memasang telinga, mendengar cerita lelaki itu dengan tekun. “Kita ni, kena berbakti kepada mak dan ayah kita, walaupun kita ada tanggungjawab lain, kita kena ingat tanggungjawab pada mak dan ayah lagi penting, sebab kalau mereka tiada, kita pun tak akan wujud kat dunia ni”. Nasihat lelaki itu aku teladani, terasa sebak di dada, dan teringat pada ibu dan bapaku di rumah.

Perbualan kami tiba-tiba terhenti apabila hidangan yang dipesan oleh lelaki itu telah siap. Hidangan itu dibungkus dengan rapi dengan menggunakan plastik bewarna merah. Aku menawarkan diri untuk membayar bagi pihak lelaki itu, tetapi lelaki itu menolak dengan sopan. “Tak pe la, lain kali awak belanja pak cik”, kata lelaki itu sambil tersenyum manis. Tiba-tiba aku teringat tujuan utama aku menegur lelaki itu, dan aku terus memberanikan diriku untuk bertanya. “ Pak cik, saya sebenarnya nak tanya satu soalan, harap pak cik tak terkilan la, kenapa pak cik tak pakai selipar?”. Pergerakan lelaki itu
terhenti, degupan jantungku semakin cepat, takut akan dimarahi oleh lelaki tersebut.

“Pak cik dah agak dah, kamu mesti nak tanya soalan tu, sebenarnya selipar pak cik anak bongsu pak cik yang pakai, dia nak beli gula-gula kat kedai sebelah, masa dia datang teman pak cik, dia tak pakai selipar, tu dia”, lelaki itu menunjukkan jari telunjuknya ke arah budak lelaki kecil yang sedang duduk di atas motor kepunyaan lelaki tersebut. “Ingat, sayangi mak dan ayah kita, sebab banyak pengorbanan yang mereka dah buat kat kita, sama ada kita lupa atau kita buat-buat lupa”. Itu pesanan terakhir sebelum lelaki itu beredar pergi.

Dalam menghabiskan titisan terakhir teh-tarikku, aku sedar, yang banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu dan bapa kita. Kita seharusnya membalas jasa mereka dengan memuaskan segala kehendak mereka. Aku bangkit daripada tempat duduk ku dan menuju ke kaunter tersebut. Terkejut aku apabila diberitahu bahawa makanan dan minuman yang telah dipesan olehku telah dibayar. Katanya lelaki yang berpakaian lusuh dan yang telah berbual denganku tadi yang membayar pesananku itu. Aku tersenyum. Aku bertekad jika aku berjumpa lagi dengan lelaki itu, aku akan membelanjanya dan aku akan bertanya banyak soalan kepadanya. Masih banyak lagi pengalaman lelaki itu yang boleh menjadi teladan bagiku. Aku melangkah keluar dari kedai itu, dan beredar pergi.