Friday 31 August 2012

Apa Erti Kemerdekaan.

31 Ogos, tarikh keramat bagi setiap rakyat di negara yang semakin membangun ini. Semakin maju negara semakin kerap kita lupa tentang erti dan makna sebenar merdeka. semangat patriotisme, bagiku, diibaratkan sebagai lilin yang terbakar, dan kini, lilin itu makin malap dan hampir terpadam. Mengapa lilin itu terpadam, bagiku tiap-tiap manusia pasti mempunyai jawapan tersendiri. Jawapan aku ialah kerana lilin yang terbakar pada hari ini ialah lilin yang sama terbakar pada 55 tahun yang lepas. Sumbunya sudah hampir ke penghujungnya. Bagiku lilin itu sudah tidak boleh diguna pakai dan kini masanya untuk kita menyalakan lilin yang baru.

Pasti ada yang kata jawapanku tidak releven dan tidak boleh diguna pakai, tetapi, sudah ku kata, tiap manusia pasti ada jawapan tersendiri. Ku katakan masa ini ialah masa yang terbai untuk menyalakan lilin yang baru kerana generasi kini sudah kian hanyut dibuai mimpi kemewahan. Perjuangan yang dilakukan oleh atuk dan nenek kita hanyalah hikayat bagi mereka, hikayat yang diceritakan oleh guru pada muridnya agar muridnya berjaya dalam peperiksaan. Itukah erti perjuangan mereka?

Hatiku terasa hambar, kerana tidak lagi aku rasakan getaran semangat perjuangan yang dilalui oleh pahlawan-pahlawan negara kita. Hatiku terasa sayu kerana semangat yang aku ada tidak sama seperti semangat yang membara dalam diriku dahulu. Akalku menyedarkan hatiku, merdeka bukan sekadar laungan, juga bukan sekadar nyanyian, merdeka ialah buah kepada pokok yang ditanam oleh generasi atuk dan nenekku. Kemanisan yang aku rasai ialah hasil daripada keperitan mereka. Dan kini adalah masa untuk aku menanam pokok agar anak dan cucuku dapat menikmati hasilnya.

Perbaharui semangat merdeka. Kini erti kemerdekaan bukan sahaja mendapat persetujuan daripada yang menjajah agar diberikan kita peluang untuk berkuasa. Tetapi merdeka ialah titik permulaan bagi generasi untuk berbakti pada negara, memakmurkan dan menabur bakti, agar negara bertambah maju di mata dunia. Apa erti kemerdekaan? Tepuk dada, tanya selera. MASIH ADA MASA UNTUK BERUBAH. FIKIRLAH.

Sunday 12 August 2012

Mengapa Perlu Berubah?

Tiada isu hangat untuk diketengahkan, tiada isu panas untuk diulas, hanya peringatan bagi yang terlupa dan hanya muhasabah diri bagi diruku yang serba kekurangan. Sudah sekian lama jari ini tidak digerakkan untuk menulis, mungkin kerana ketandusan ilham, juga mungkin kerana sudah malas.

MALAS, itulah sifatku, ayahku pernah menasihatiku, jangan malas kerana orang malas selalu rugi. Jika malas, ilmu yang dicari tidak akan diperolehi, jika malas, tidak kita mendapat keredaan ilahi, jika malas, peluang pasti akan melepas. Jadi janganlah kita malas kerana itu ialah amalan si iblis.

Daripada Anas bin Malik r.a daripada Rasulullah s.a.w. Dalam doanya bermaksud: 

"Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepadaMu daripada kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepadaMu dari rasa penakut dan kikir, dan aku berlindung kepadaMu daripada bebanan hutang dan penindasan." 


Memang diri yang lemah ini ingin menjauhi sifat yang seringkali menjadi bebanan, walaupun ia manis, tetapi ingat, kemanisan itu hanya seketika, bebanan yangakan mendatang pasti menjadikan diri yang tersnyum, terus mengalirkan air mata.

Mengapa perlu berubah, kerana perubahan satu perjuangan, kita semua bukan sesat, kerana yang sesat pasti berjumpa dengan jalan yang ingin dicari, cuma masa akan menentukan. Kita sebenarnya telah hanyut, kerana setiap tindakan yang dilakukan, tiada jalan kembali, jadi hanyutlah ke arah yang diredainya.

Ayahku juga berkata "Jaga masa belia abang jangan ada kesilapan , biasa nya orang muda pemikiran sangat berlainan ,perkiraan tidak mendalam, keputusan yang diambil tidak ada penilayaan yang mana akhir membawa penyesalan. " Jadi peringatan bagiku ialah sentiasa berfikir sebelum membuat keputusan. Setiap langkah yang diambil pasti akan mengubah corak kehidupan seharian.

Umur makin meningkat tetapi ilmu tetap sama, umur makin meningkat tetapi perangai tetap sama, umur makin meningkat tetapi adab sopan tetap sama. Ingat, Jadilah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Corak kehidupan manusia semakin berubah, jadi berubahlah ke arah yang lebih baik.

Mengapa perlu berubah, kerana berubahlah jawaban yang mutlak kepada semua soalan yang berkaitan dengan kehidupan. MASIH ADA MASA UNTUK BERUBAH. FIKIRLAH.