Tuesday 1 January 2013

Sahabatku Si Hitam


By:HanifMarZuki

Aku ada seorang kawan rapat berbangsa India. Kalau aku berbual dengannya, bagai nak runtuh langit dunia, ada sahaja yang salah, baik pada diriku, atau pada dirinya. Walau tiap hari persahabatan disulami dengan pergaduhan, perbualan diisi dengan kata-kata sinis, dan perbuatan dilingkari dengan sifat nakal, kami tetapberkawan. Adak ala kami berperang, tetapi selalunya kami berdamai. Itulah kehidupan, dikelilingi dengan pelbagai ragam dan perangai manusia. Ada kalanya kita tak boleh tahan, tapi selalunya kita kena akur, kerana perbezaan membawa pada kesempurnaan. Kawan indiaku itu sangat mulia hatinya. Ingin kemana-mana, pasti dibawa, tanpa sebarang keluh, penat, walau lelah. Senyuman sentiasa terukir, tatkala menyempurnakan tugas sebagai seorang sahabat. Ramai yang pelik mengapa aku boleh berkawan dengannya. Tapi persoalannya, patutukah mereka berasa pelik? Adakah perbezaan darah bangsa membatasi pergaulan? Aku lagi pelik dengan segelintir mereka, menjunjung kalimah ilahi, tetapi batas pergaulan yang sepatutnya tidak dijaga.

Apa yang ingin aku manifestasikan dalam bentuk literal kali ini ialah perbezaan boleh diatasi dengan toleransi, budi bicara dan adab yang betul. Itulah yang diajar oleh agama yang membawa kebenaran. Jika kita menghormati mereka, pastinya mereka akan lebih menghormati kita. Jangan pandang enteng dengan kepentingan persahabatan melangkaui bangsa, kerana mungkin satu hari pertolongan mereka adalah bantuan yang paling kita perlukan. Jangan jadikan penguasaan kek ekonomi sebagai alasan untuk menjauhi mereka, kerana setiap yang kurang pasti ada sebabnya. Jangan jadikan tuan rumah sebagai alasan untuk menyombong diri, kerana orang yang sombong pasti selalu rugi.

Sebenarnya diriku sangat berada dalam dilemma. Bukankah yang tua sepatutnya membimbing yang muda. Tetapi mengapa ajaran segelintir yang tua ini menyimpang pada nilai-nilai murni yang sepatutnya menjadi akar jati diri. Tidak percaya, bacalah akhbar tempatan, atau layari alam maya. Pasti akan ada orang yang terkenal memperjuangkan perkara yang tidak sepatutnya. Pasti ada sahaja debat perdana tentang kepercayaan yang tiada asas nilai-nilai kerohanian. Berlindung dibawah naungan agama, berperisaikan perjuangan bangsa, tetapi tidak mempunyai ilmu yang cukup. Bila diri berdebat dan menang, terus mendabik dada, betullah kata imam syafie`, aku boleh berdebat dengan 10 orang berilmu, tetapi aku tidak boleh berhujah dengan orang jahil. Tepuk dada, Tanya selera.

Tuntasnya, tidak salah mempertahankan hak bangsa, tetapi kita perlu ingat dan akur, tidak juga salah bersahabat dengan orang berlainan bangsa. Dengan nilai murni yang kita tunjukkan, mungkin satu hari, persahabatan yang kukuh akan berubah menjadi persaudaraan yang teguh. Mandilah dengan nilai kerohanian, bersugilah dengan budi bahasa, berdandanlah dengan jati diri, dan wangikan diri dengan sifat tolong-menolong, agar apabila kita mencerminkan diri, bayangan seorang pemimpin yang hebat akan dilihat dan moga hiasan itu akan menjadikan diri lebih jujur dan rendah diri agar dapat menjadi ikutan orang ramai, Moga setiap kata-kata diikuti dengan keberkatan, moga setiap ayat diwarnai dengan kebenaran, dan moga setiap perenggan membawa cahaya kesedaran, agar ilmu yang dimanfaatkan, menjadi ikutan sepanjang zaman.

No comments:

Post a Comment