Tuesday 1 January 2013

Sahabatku Si Hitam


By:HanifMarZuki

Aku ada seorang kawan rapat berbangsa India. Kalau aku berbual dengannya, bagai nak runtuh langit dunia, ada sahaja yang salah, baik pada diriku, atau pada dirinya. Walau tiap hari persahabatan disulami dengan pergaduhan, perbualan diisi dengan kata-kata sinis, dan perbuatan dilingkari dengan sifat nakal, kami tetapberkawan. Adak ala kami berperang, tetapi selalunya kami berdamai. Itulah kehidupan, dikelilingi dengan pelbagai ragam dan perangai manusia. Ada kalanya kita tak boleh tahan, tapi selalunya kita kena akur, kerana perbezaan membawa pada kesempurnaan. Kawan indiaku itu sangat mulia hatinya. Ingin kemana-mana, pasti dibawa, tanpa sebarang keluh, penat, walau lelah. Senyuman sentiasa terukir, tatkala menyempurnakan tugas sebagai seorang sahabat. Ramai yang pelik mengapa aku boleh berkawan dengannya. Tapi persoalannya, patutukah mereka berasa pelik? Adakah perbezaan darah bangsa membatasi pergaulan? Aku lagi pelik dengan segelintir mereka, menjunjung kalimah ilahi, tetapi batas pergaulan yang sepatutnya tidak dijaga.

Apa yang ingin aku manifestasikan dalam bentuk literal kali ini ialah perbezaan boleh diatasi dengan toleransi, budi bicara dan adab yang betul. Itulah yang diajar oleh agama yang membawa kebenaran. Jika kita menghormati mereka, pastinya mereka akan lebih menghormati kita. Jangan pandang enteng dengan kepentingan persahabatan melangkaui bangsa, kerana mungkin satu hari pertolongan mereka adalah bantuan yang paling kita perlukan. Jangan jadikan penguasaan kek ekonomi sebagai alasan untuk menjauhi mereka, kerana setiap yang kurang pasti ada sebabnya. Jangan jadikan tuan rumah sebagai alasan untuk menyombong diri, kerana orang yang sombong pasti selalu rugi.

Sebenarnya diriku sangat berada dalam dilemma. Bukankah yang tua sepatutnya membimbing yang muda. Tetapi mengapa ajaran segelintir yang tua ini menyimpang pada nilai-nilai murni yang sepatutnya menjadi akar jati diri. Tidak percaya, bacalah akhbar tempatan, atau layari alam maya. Pasti akan ada orang yang terkenal memperjuangkan perkara yang tidak sepatutnya. Pasti ada sahaja debat perdana tentang kepercayaan yang tiada asas nilai-nilai kerohanian. Berlindung dibawah naungan agama, berperisaikan perjuangan bangsa, tetapi tidak mempunyai ilmu yang cukup. Bila diri berdebat dan menang, terus mendabik dada, betullah kata imam syafie`, aku boleh berdebat dengan 10 orang berilmu, tetapi aku tidak boleh berhujah dengan orang jahil. Tepuk dada, Tanya selera.

Tuntasnya, tidak salah mempertahankan hak bangsa, tetapi kita perlu ingat dan akur, tidak juga salah bersahabat dengan orang berlainan bangsa. Dengan nilai murni yang kita tunjukkan, mungkin satu hari, persahabatan yang kukuh akan berubah menjadi persaudaraan yang teguh. Mandilah dengan nilai kerohanian, bersugilah dengan budi bahasa, berdandanlah dengan jati diri, dan wangikan diri dengan sifat tolong-menolong, agar apabila kita mencerminkan diri, bayangan seorang pemimpin yang hebat akan dilihat dan moga hiasan itu akan menjadikan diri lebih jujur dan rendah diri agar dapat menjadi ikutan orang ramai, Moga setiap kata-kata diikuti dengan keberkatan, moga setiap ayat diwarnai dengan kebenaran, dan moga setiap perenggan membawa cahaya kesedaran, agar ilmu yang dimanfaatkan, menjadi ikutan sepanjang zaman.

Aku Orang Gila


By:HanifMarZuki

Mataku merenung menembusi jendela,
Memerhati lingkaran kehidupan dunia,
Melihat tangisan dan hilai tawa,
Menguasai emosi manusia bagaikan raja,

Tertumpunya mataku ke seorang figura,
Bayangan yang jauh dari normaliti,
Melangkaui batasan pemikiran,
Yang menjadi pemisah antara dua dunia,
Alam ilusi ciptaan sendiri dan alam fana tempat diriku berdiri,
Menjadi bahan jenaka bagi yang melihatnya,
Baik daripada segi pakaian ataupun pertuturan,
Tetapi pasti menjadi iktibar bagi yang memerhati,
Menambah keinsafan pada yang ilahi,
Inikah balasan atau cuma ujian,
Siapa yang tahu sejarah hidup lelaki ini,

Dia tidak siuman,
Tidak menanggung bebanan hidup,
Tiada harta untuk dicuri,
Emosinya bercelaru,
Kalis lautan hinaan manusia,
Ejekan menjadi sarapan,
Kata sinis menjadi pakaian,
Tiada hak untuk mengundi,
Tidak menjadi kepentingan pemimpin masa kini,
Tidak menerima rasuah atau wang kopi,
Tidak dipermainkan dengan ilusi kebaikan,
Tidak berada dalam cengkaman pihak berkuasa,
Tidak gentar diugut dengan senjata,
Tidak ketar dengan permainan undang-undang,
Pelik bagi kita biasa baginya,
Buruk bagi kita baik darinya,

Tetapi dia bebas,
Tidak terperangkap dalam penjara dunia,
Tidak dikaburi dengan kuasa harta,
Tidak dipekik dengan bisingan hutang,
Tidak terpengaruh dengan maksiat dunia,
Tiada fahaman politik,
Liberal, komunis, demokratik,
Itu semua sampah baginya,
Malah sampah yang dikutip lagi berguna,
Untuk menyara kehidupan harinya,

Buka mata bentangkan minda,
Fikirlah secara realistik,
Siapa yang sebenarnya gila,
Nama bangsa disanjung tinggi,
Nombor satu dalam carta kepentingan kehidupan,
Amalan agama diletak tepi,
Bagai tiiada penting dalam seorang insan,
Fahaman politik menjadi jurang,
Memisahkan antara kebenaran dan penipuan,
Kepentingan diri diutamakan,
Agar harta menjadi ganjaran,
Hak yang lain digadaikan,
Bagai tiada tali persaudaraan,
Sekarang siapa yang gila.