Wednesday 16 May 2012

Keadilan Terbela?

Agak terkejut apabila saya terbaca satu artikel yang bertajuk "Senaman Tonggeng Depan Rumah Ambiga". Agak melucukan kerana ada yang sanggup melakukan perkara yang agak memalukan sehingga sanggup menghebohkannya di dalam akhbar. Adakah perkara ini diterima islam? Saya tidak ingin menyentuh hal ini dalam aspek agama kerana saya sedar ilmu saya tidak sampai ke tahap itu. Tetapi sedarkah kita yang perkara ini hanya mempamerkan kebodohan kita. Saya mengaku memang beliau ada melakukan satu perkara yang boleh mengancam keselamatan negara tetapi kita harus buka mata. Adakah ini balasan yang wajar kepada beliau. Saya percaya pada sistem perundangan negara, jadi tidak bolehkah kita membiarkan pihak berkuasa melakukan tugas mereka. Perlakuan ini hanya akan mengganggu kejiranan rumah beliau, dan ini membuatkan orang yang melakukan perbuatan itu diletakkan sama taraf dengan beliau. Sedarlah, adakah ini perlakuan yang wajar dilakukan oleh sekumpulan rakyat yang saya pasti mengimpikan negara maju pada tahun 2020, iaitu lagi 8 tahun lagi. Ini hanya menunjukkan kebodohan kita. Jadi siapa yang mencemarkan nama negara kita. Jadi, sedarlah dan fikirlah dengan rasional tentang tindakan yang kita akan lakukan. MASIH ADA MASA UNTUK BERUBAH. FIKIRLAH.

Sunday 13 May 2012

Cerita Tentang Peguam

12 Mei 2012, pada muka depan akhbar Utusan Malaysia, saya terkejut apabila terpandang antara tajuk yang dibincangkan dalam akhbar itu iaitu " Mesyuarat Agung Luar Biasa Majlis Peguam Lulus Resolusi Kecam Polis". Ia sangat menarik kerana salah satu badan yang kukuh mempertahankan sistem perundangan negara meluluskan resolusi sedemikian. Saya belek ke muka 10 untuk membaca berita seterusnya kerana berita ini boleh saya klasifikasikan sebagai berita yang menarik, berbanding berita tentang perhimpunan UMNO yang telah berlaku. Alangkah terkejutnya saya apabila terbaca satu petikan artikel yang bertajuk Gagal Dipertahan Sebagai Badan Profesional Berintergriti, Majlis Peguam Perlu Diganti.Petikan itu berbunyi" Sebuah badan guaman baru yang bebas daripada pengaruh politik perlu diwujudkan bagi menggantikan Majlis Peguam". Banyak persoalan yang tertimbul di dalam fikiran saya. Adakah ahli-ahli Majlis Peguam iaitu peguam di Malaysia, tidak berintergriti sehinggakan perlu menubuhkan satu badan guaman yang baru? Jika ditubuhkan, siapakah ahlinya? Kerana, jika ahlinya bukan daripada kalangan peguam, pastinya ia tidak layak digelar sebagai badan guaman. Dan jika ahlinya peguam, pastinya peguam itu daripada kalangan peguam di Malaysia. Saya meneruskan pelayaran saya dalam artikel tersebut. Saya mendapati bahawa semua isu ini tertimbul apabila resolusi seperti yang disebut di atas telah diluluskan. Mengikut artikel tersebut, dalam kalangan 1270 ahli Majlis Peguam, seramai 939 ahli mengundi untuk menyokong resolusi tersebut, manakala 16 ahli yang lain tidak menyokong. Jadi salah seorang daripada 16 ahli ini tidak berpuas hati dan memberontak. Saya mula menjadi keliru, kerana secara logiknya, keputusan majoriti pastinya keputusan yang baik. Dan apabila 939 orang peguam, yang telah lulus ijazah perundangan, dan telah ditauliahkan sebagai peguam, pastinya adalah keputusan yang terbaik. Kerana peguam ialah golongan yang berfikir dalam setiap tindakan. Adakah 939 orang peguam ini ialah golongan peguam yang tidak berfikir? Jadi, tidak layak mereka dipanggil sebagai peguam, dan mustahil mereka akan mendapat ijazah perundangan, kerana jika mereka golongan yang tidak berfikir, pastinya masa depan mereka akan kabur. Saya, sebagai rakyat Malaysia berasa pelik atas senario yang berlaku. Ingatlah, keputusan yang sempurna ialah keputusan Allah kerana Allah tiada cacat dan Allah Maha sempurna. Jadi, jika kita inginkan keputusan yang baik, kita seharusnya bermesyuarat dan jika keputusan telah dipersetujui, maka akurlah. Dan jika tidak bersetuju, bincanglah dalam kumpulan tersebut dengan hujah yang releven. Jika melibatkan orang luar, terutamanya publisiti, maka kebodohan kita akan terserlah. Isu ini masih belum selesai, kerana hanya ahlinya yang mampu menyelesaikannya. MASIH ADA MASA UNTUK BERUBAH. FIKIRLAH.

Friday 11 May 2012

Tahniah, UMNO Kini 66 Tahun

Saya sebagai rakyat Malaysia amat berbangga dengan parti UMNO, satu parti yang telah memperjuangkan kemerdekaan dan memerintah negara sejak kemerdekaan hingga kini. Kita patut menghargai jasa mereka, iaitu pemimpin UMNO terdahulu, kerana tanpa mereka, kemungkinan, kita masih lagi dijajah. Parti UMNO telah berusaha keras memelihara ketuanan Melayu dan kedaulatan raja. Pada tahun 1946, ahli UMNO yang kurang daripada 50 orang telah berjaya memperjuangkan kemerdekaan menggunakan kemahiran intelektual, toleransi serta budi bahasa yang tinggi. Ini membuktikan ahli UMNO pada ketika itu sangat berkepimpinan, berkemahiran dan berkualiti. Setelah 66 tahun berlalu, ahli UMNO daripada seantero Malaysia dikumpulkan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Jumlah yang dianggarkan hadir ialah lebih daripada 100 000. Sangat menggagumkan, lautan merah membanjiri stadium ini pada hari yang bersejarah ini, bukan perlawanan bola sepak Kelantan, tetapi perhimpunan UMNO. Apa yang mengejutkan saya ialah angka 100 000 itu tidak memberi makna kerana kita masih lagi dijajah dengan pemikiran negatif dan permainan kotor politik. Segala usaha UMNO pada zaman dahulu tidak lagi bermakna kerana kita telah dijajah semula bukan secara ketenteraan, tetapi secara polusi pemikiran, obsesi keduniaan dan ketaksuban terhadap kuasa. Saya yakin dan percaya perjuangan politik dahulu tidak sesuai dengan situasi politik hari ini. Kita telah menang pertarungan dahulu, tetapi peperangan hari ini masih belum diputuskan johannya. Generasi dahulu patut berbangga dengan jentera UMNOnya kerana mereka telah bertarung dengan hebat dan menang dengan kegemilangan. Tetapi generasi masa kini masih lagi perlu berusaha kerana selagi adanya korupsi dalam politik, selagi itulah kita masih belum menang peperangan ini. Jadi, marilah kita bersama berjuang untuk mengubah senario politik hari ini. Kita perjuangkan agama kerana kejayaan dalam agama ialah kejayaan yang hakiki. MASIH ADA MASA UNTUK BERUBAH. FIKIRLAH.