Wednesday 28 November 2012

Mengapa Pakcik Tidak Berselipar


Malam ini sungguh tenang. Hembusan angin yang nyaman menyababkan mataku semakin layu. Bulan dan bintang tidak kelihatan, mungkin kerana hujan yang membasahi bumi sebentar tadi. Keputusanku untuk duduk di kedai kopi ini tidak mempunyai tujuan yang penting, hanya ingin mencari teman bagi perutku yang kesepian. Teh-tarik dan roti canai kosong menjadi pilihanku. Jam menunjukkan pukul 0930 malam. Kedudukan mejaku yang berada di sebelah kaunter bayaran menjadi tempat yang terbaik untuk memerhatikan gelagat manusia. Ada yang bersama keluarga, ada yang bersendirian, ada yang bersama rakan-rakan, barangkali membincangkan satu hal yang penting. Tetapi gelagat seorang lelaki telah mencuri pandanganku.

Lelaki itu berada dalam lingkungan 60-an, berkulit hitam manis, tingginya lebih kurang 175cm, rambutnya putih dan apa yang membingungkan, lelaki itu tidak memakai selipar. Masih ada lagi pada zaman moden ini lelaki yang tidak mempunyai selipar, monologku sendirian. Banyak andaian yang bermain di fikiranku, mungkin lelaki ini seorang pengemis, mungkin seliparnya tercabut ditengah jalan, mungkin lelaki ini dalam keadaan yang cemas apabila keluar dari rumah sehingga terlupa memakai selipar. Apa yang aku yakin dan pasti, andaian lelaki ini seorang pengemis pastinya salah kerana dia datang ke kedai kopi ini dengan menaiki motor 125 Z yang agak baru.

Aku bertekad di dalam hatiku, untuk mengelakkan sebarang andaian dan fitnah, aku mesti bertanya kepada lelaki itu mengapa dia tidak berselipar. Mungkin ini adalah cara yang terbaik untuk menghilangkan kebosanan yang hampir membunuh diriku ini. Aku bangun dan melangkah ke meja lelaki itu. Lelaki itu memandangku dan tersenyum, menandakan kemesraannya. Aku senyum kembali kepada lelaki itu dan menghulurkan tanganku, sebagai tanda persahabatan. Kami berjabat tangan. Aku duduk tanpa dipelawa, tetapi lelaki itu tidak menunjukkan sebarang tanda pencegahan.

“Assalamualaikum pak cik, bungkus ke minum sini?”, tanyaku untuk memulakan perbualan. “Waalaikumussalam, pak cik ni bungkus je, tengah tunggu ni”. Aku cuba untuk tidak terus bertanya kepada soalan utama, kerana ini mungkin akan menyebabkan lelaki itu marah atau berasa tidak selesa. Aku memulakan permainan psikologiku. “ Pak cik duduk mana, tak pernah nampak pun sebelum ni”. “Pak cik duduk kat kampung depan tu, jarang jugak datang sini, sebelum ni pergi kat kedai sana, tapi hari ni kedai tu tutup pulak, awak ni duduk mana?”. Pertanyaan yang diberikan oleh lelaki itu menunjukkan satu reaksi positif dan menandakan lelaki itu sudah mula selesa dengan diriku.

“Saya duduk dekat taman depan tu, dah lama ke pak cik duduk kat kampong tu?”. Aku cuba menyiasat latar belakang lelaki itu. “Lama jugak, dekat 20 tahun, pak cik kerja nelayan dekat situ, biasalah, nak cari makan, tu je la yang termampu, pak cik ni, sekolah tak la seberapa”. Agak terkejut apabila aku dapat tahu bahawa lelaki berbaju biru lusuh ini sudah berumah tangga. Bagiku, perbualan semakin menarik, dan aku yakin persoalan utama aku akan terjawab. “Owh, pak cik ada berapa orang anak, dah kerja ke semua?”. “Pak cik ada 7 orang anak je, 2 orang dah kerja, tolong pak cik kat laut, 4 orang masih sekolah, yang sorang tu baru 5 tahun, yang 2 orang tu sekolah tak tinggi mana, setakat tingkatan 5 je”.

Masih ada generasi kini yang tidak mampu melanjutkan pelajaran ketahap yang lebih tinggi. Mungkin tidak berminat, atau mungkin mereka ingin berbakti kepada kedua orang tua mereka  bagi meringankan beban yang ditanggung. “Pak cik memang daripada dulu kerja nelayan ke?”,tanya diriku yang penuh dengan persoalan. “Tak lah, dulu pakcik kerja askar, tapi pencen awal, pak cik jaga mak pak cik yang sakit, lepas tu  mak pak cik meninggal, pak cik pun pindah kat kampung tu”. Cerita hidup itu semakin menarik. Banyak pengalaman lelaki itu yang boleh aku teladani dan pelajari. “Jadi askar dulu tak macam jadi askar sekarang, dulu gaji kecik, tanggungjawab besar”. Pak cik itu menyambung cerita, “ Dulu sebelum masuk hutan dah mengucap, takut kena jerangkap samar, teringat anak bini, masa tu pulak pak cik baru kawin”.

“Dalam 2 tahun pak cik berkhidmat, tiba-tiba dapat berita mak pak cik sakit, pak cik cemas, sebab pak cik anak sorang je, terus pak cik mintak berhenti, dia je la keluarga yang pak cik ada selain isteri pak cik”. Aku hanya memasang telinga, mendengar cerita lelaki itu dengan tekun. “Kita ni, kena berbakti kepada mak dan ayah kita, walaupun kita ada tanggungjawab lain, kita kena ingat tanggungjawab pada mak dan ayah lagi penting, sebab kalau mereka tiada, kita pun tak akan wujud kat dunia ni”. Nasihat lelaki itu aku teladani, terasa sebak di dada, dan teringat pada ibu dan bapaku di rumah.

Perbualan kami tiba-tiba terhenti apabila hidangan yang dipesan oleh lelaki itu telah siap. Hidangan itu dibungkus dengan rapi dengan menggunakan plastik bewarna merah. Aku menawarkan diri untuk membayar bagi pihak lelaki itu, tetapi lelaki itu menolak dengan sopan. “Tak pe la, lain kali awak belanja pak cik”, kata lelaki itu sambil tersenyum manis. Tiba-tiba aku teringat tujuan utama aku menegur lelaki itu, dan aku terus memberanikan diriku untuk bertanya. “ Pak cik, saya sebenarnya nak tanya satu soalan, harap pak cik tak terkilan la, kenapa pak cik tak pakai selipar?”. Pergerakan lelaki itu
terhenti, degupan jantungku semakin cepat, takut akan dimarahi oleh lelaki tersebut.

“Pak cik dah agak dah, kamu mesti nak tanya soalan tu, sebenarnya selipar pak cik anak bongsu pak cik yang pakai, dia nak beli gula-gula kat kedai sebelah, masa dia datang teman pak cik, dia tak pakai selipar, tu dia”, lelaki itu menunjukkan jari telunjuknya ke arah budak lelaki kecil yang sedang duduk di atas motor kepunyaan lelaki tersebut. “Ingat, sayangi mak dan ayah kita, sebab banyak pengorbanan yang mereka dah buat kat kita, sama ada kita lupa atau kita buat-buat lupa”. Itu pesanan terakhir sebelum lelaki itu beredar pergi.

Dalam menghabiskan titisan terakhir teh-tarikku, aku sedar, yang banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu dan bapa kita. Kita seharusnya membalas jasa mereka dengan memuaskan segala kehendak mereka. Aku bangkit daripada tempat duduk ku dan menuju ke kaunter tersebut. Terkejut aku apabila diberitahu bahawa makanan dan minuman yang telah dipesan olehku telah dibayar. Katanya lelaki yang berpakaian lusuh dan yang telah berbual denganku tadi yang membayar pesananku itu. Aku tersenyum. Aku bertekad jika aku berjumpa lagi dengan lelaki itu, aku akan membelanjanya dan aku akan bertanya banyak soalan kepadanya. Masih banyak lagi pengalaman lelaki itu yang boleh menjadi teladan bagiku. Aku melangkah keluar dari kedai itu, dan beredar pergi.

No comments:

Post a Comment