Friday, 11 May 2012
Tahniah, UMNO Kini 66 Tahun
Saya sebagai rakyat Malaysia amat berbangga dengan parti UMNO, satu parti yang telah memperjuangkan kemerdekaan dan memerintah negara sejak kemerdekaan hingga kini. Kita patut menghargai jasa mereka, iaitu pemimpin UMNO terdahulu, kerana tanpa mereka, kemungkinan, kita masih lagi dijajah. Parti UMNO telah berusaha keras memelihara ketuanan Melayu dan kedaulatan raja. Pada tahun 1946, ahli UMNO yang kurang daripada 50 orang telah berjaya memperjuangkan kemerdekaan menggunakan kemahiran intelektual, toleransi serta budi bahasa yang tinggi. Ini membuktikan ahli UMNO pada ketika itu sangat berkepimpinan, berkemahiran dan berkualiti. Setelah 66 tahun berlalu, ahli UMNO daripada seantero Malaysia dikumpulkan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Jumlah yang dianggarkan hadir ialah lebih daripada 100 000. Sangat menggagumkan, lautan merah membanjiri stadium ini pada hari yang bersejarah ini, bukan perlawanan bola sepak Kelantan, tetapi perhimpunan UMNO. Apa yang mengejutkan saya ialah angka 100 000 itu tidak memberi makna kerana kita masih lagi dijajah dengan pemikiran negatif dan permainan kotor politik. Segala usaha UMNO pada zaman dahulu tidak lagi bermakna kerana kita telah dijajah semula bukan secara ketenteraan, tetapi secara polusi pemikiran, obsesi keduniaan dan ketaksuban terhadap kuasa. Saya yakin dan percaya perjuangan politik dahulu tidak sesuai dengan situasi politik hari ini. Kita telah menang pertarungan dahulu, tetapi peperangan hari ini masih belum diputuskan johannya. Generasi dahulu patut berbangga dengan jentera UMNOnya kerana mereka telah bertarung dengan hebat dan menang dengan kegemilangan. Tetapi generasi masa kini masih lagi perlu berusaha kerana selagi adanya korupsi dalam politik, selagi itulah kita masih belum menang peperangan ini. Jadi, marilah kita bersama berjuang untuk mengubah senario politik hari ini. Kita perjuangkan agama kerana kejayaan dalam agama ialah kejayaan yang hakiki. MASIH ADA MASA UNTUK BERUBAH. FIKIRLAH.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment