Kita seringkali mendengar ungkapan " pelajarilah sejarah supaya kita tidak mengulanginya". Tetapi hakikat yang sebenarnya, tanpa kita sedari, kita telah mengulangi sejarah yang lalu. Kita telah didedahkan ketika zaman persekolahan dalam subjek sejarah bahawa Kaum Tua ialah golongan ortodoks islam yang terlalu taksub dengan adat sehingga mencampur adukkan adat dan agama. Pada ketika itu, golongan wanita tidak diberikan hak sewajarnya dan ditindas. Antara hak yang tidak ditegakkan pada ketika itu ialah hak menuntut ilmu. Kaum Tua menganggap tempat yang sewajarnya untuk golongan wanita ialah dengan menjadi suri rumah dan golongan wanita tidak layak untuk menimba ilmu, sedangkan islam menyuruh umatnya untuk mencari ilmu agar agama islam tidak diperkecil-kecilkan. Contoh yang terbaik ialah Saidatina Aisyah, merupakan wanita yang menjadi rujukan hadith pada zamannya kerana beliau merupakan seorang yang rapat dengan Rasulullah S.A.W. Golongan wanita juga tidak diberikan hak untuk mentadbir dan memimpin kerana Kaum Tua menganggap suara golongan wanita tidak penting. Pada ketika itu, hidup terlalu kearah keagamaan dan hal dunia telah dilupakan. Bukan itu satu perkara yang buruk, tetapi Allah telah memerintahkan manusia agar memakmurkan muka bumi ini agar agama Allah dapat tersebar luas. Golongan intelek yang belajar di luar negara terutamanya di timur tengah telah sedar akan kecacatan pemikiran Kaum Tua dan menganggap gaya pemikiran itu tidak lagi relevan. Golongan itu cuba untuk membuat revolusi pemikiran. Mereka ialah Kaum Muda, golongan yang cuba untuk menyeimbangkan semula sistem pemikiran dan cuba untuk membuat pembaharuan. Antara pembaharuan yang diperkenalkan ialah menentang bid'ah, memperjuangkan hak pendidikan wanita dan menyeru umat islam agar kembali kepada ajaran islam sebenar. Kaum Muda jugalah yang meningkatkan kesedaran umat islam pada ketika itu untuk menuntut kemedekaan dan menentang penjajah. Kini, kita sedang menikmati keamanan, yang secara tidak langsung merupakan antara usul yang diperjuangkan Kaum Muda.
Sedarkah kita bahawa sejarah telah berulang, tetapi episod sejarah ini telah mengalami perubahan. Kita kian meninggalkan agama dan amalan sekular telah diagung-agungkan. Islam hanya pada nama, tetapi, rasuah, arak, seks bebas dan segala amalan jahiliyah tetap diteruskan. Kemungkaran ialah makanan tegah hari kita. Kita perlu sedar bahawa ini merupakan petanda buruk untuk kemakmuran negara kita. Kemajuan negara sebenarnya bukan sahaja diukur melalui kemakmuran ekonomi dan kecanggihan teknologi, tetapi juga kemajuan dalam beragama. Jadi adakah negara yang penuh dengan korupsi layak dipanggil sebagai negara yang maju? Golongan yang ingin memperjuangkan konsep hidup beragama juga telah ditentang dan mereka ini dilabelkan sebagai alat pembangkang dan sebagainya. Golongan ini ditindas sebagaimanaKaum Muda telah ditindas pada ketika itu. Walaupun mata rakyat telah terbuka luas dan rakyat telah melihat kepincangan dalam sistem pentadbiran, tetapi rakyat tidak mempunyai hak untuk bersuara. Hak untuk bersuara yang terkandung dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999, Akta 597, hanyalah perisai kertas yang diberi untuk berlawan dengan pedang. Jika digunakan, pastinya akan kalah.
Jadi kita perlu sentiasa berfikir dan membuat keputusan yang terbaik agar maruah agama dan negara kita tidak tergadai. Kebolehan untuk membuat keputusan yang terbaik sangatlah penting kerana dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, suara rakyat menjadi senjata utama. Jika berseorangan, kita pasti jatuh, tetapi jika kita bersatu, pasti kita akan utuh bak kata pepatah, " Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh". Kita perlu menanam keinginan untuk memperbetulkan apa yang salah dan mengembalikan semula kegemilangan islam yang telah lama hilang. Tiada guna jika menggelarkan negara kita negara Islam, tetapi tidak menekankan hak-hak beragama dan undang-undang islam. Sedangkan perbankan islam tertakluk dalam undang-undang sivil. MASIH ADA MASA UNTUK BERUBAH. FIKIRLAH